Cadangan Sukan SEA Jadi Sukan ASEAN Diperhalusi – Khairy

108
0
SHARE

PUTRAJAYA: Cadangan menggabungkan penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Kuala Lumpur akan diputuskan selepas Sekretariat Sukan SEA memperhalusi cadangan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata sekretariat di bawah Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017, Datuk Seri Zolkples Embong akan diminta mengkaji cadangan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang diserahkan Selasa lalu.

“Secara peribadi, saya tertarik dengan cadangan itu. Saya percaya cadangan itu ada mempunyai kelebihan daripada segi semangat kesukanan dan aspek keterangkuman,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Khairy berkata, cadangan meraikan kedua-dua temasya itu secara serentak tidak pernah dianjurkan setakat ini dan ia dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan.

“Apabila kita terima ulasan daripada Sekretariat Sukan SEA termasuklah pandangan MPM nanti, kita akan tetapkan keputusan,” katanya. MPM menerusi presidennya, SM Nasarudin SM Nasimuddin sebelum ini mencadangkan usul untuk menganjurkan serentak temasya itu dengan nama ‘Sukan ASEAN 2017’.