Cadang Kurangkan Kadar GST Kepada 4 Peratus – Puteri UMNO

170
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang wakil Pergerakan Puteri Umno mencadangkan kerajaan menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada empat peratus sebagai langkah mengimbangi kos sara hidup golongan muda.

Ketua Puteri Umno bahagian Shah Alam, Nurulhusna Yem, yang membuat cadangan itu di perhimpunan agung Puteri Umno hari ini, berpendapat pengurangan kadar itu tidak akan mengganggu pengumpulan hasil kerajaan, sebaliknya masih menjana sekurang-kurangnya RM18 bilion pendapatan negara.

Nurulhusna yang membahaskan usul ekonomi pergerakan itu turut mencadangkan supaya program Permata Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang kini beroperasi di 600 lokasi di seluruh negara diperluaskan dengan bayaran yang berpatutan demi mengurangkan kos hidup pasangan muda.

Jika ditambah 10 program Permata di 222 kawasan parlimen di seluruh negara dengan kadar yuran bulanan RM100 setiap anak, kerajaan dapat menjimatkan kos penjagaan kanak-kanak sehingga RM66.6 juta.

“Jika perluasan program ini terlaksana kelak, institusi kekeluargaan akan berkembang kerana masalah penjagaan anak sudah tidak lagi menjadi penghalang kepada pertambahan zuriat,” katanya.

Beliau turut mengulangi saranan perwakilan sebelum ini yang meminta kerajaan menubuhkan Bank Pembangunan Wanita sebagai langkah komprehensif membantu golongan itu untuk terus bertapak dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, Dasar Transformasi Negara tidak mungkin dicapai sekiranya golongan wanita yang terdiri daripada 50 peratus rakyat Malaysia tidak diberi peluang sama rata untuk memajukan diri.