Cabaran, Bahaya Dihadapi Polis Tak Seperti Dahulu – Najib

169
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, cabaran yang dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota keselamatan negara untuk menangani keganasan dan bahaya pada hari ini adalah jauh berbeza berbanding dahulu.

Sambil melahirkan rasa syukur, Perdana Menteri berkata, berbanding negara lain, Malaysia sememangnya bertuah kerana dikurniakan Allah keadaan persekitaran yang stabil, aman dan damai.

Najib berkata, sebahagian besar daripadanya adalah hasil usaha yang tidak mengenal erti penat dan lelah anggota PDRM dalam menjaga dan memastikan keamanan yang kita nikmati ini terpelihara.

Beliau berkata, musuh negara kini lebih pintar, licik dan tidak dapat dijangka. Anggota keselamatan perlu sentiasa berada selangkah di hadapan mereka dalam keadaan bersiap siaga, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keganasan.

“Pembendungan, pencegahan adalah lebih penting dan berkesan. Seperti kata pepatah, kita tidak mahu ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

Kita ingin supaya rakyat Malaysia semuanya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara sepanjang masa.

“Kita lihat dalam berita dan baca dalam surat khabar bahawa terdapat kumpulan dan sel pengganas yang ditumpaskan dan diberkas oleh Cawangan Khas, Unit Tindakan Khas dan anggota PDRM sebelum sempat mereka bertindak mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan nyawa, hasil siasatan dan risikan terperinci yang dilakukan,” katanya menerusi kiriman terbaharu blog beliau, najibrazak.com sempena sambutan Hari Polis ke-209.

Beliau berkata, dalam iklim ketidaktentuan dunia hari ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga yang perlu seperti menempatkan anggota PDRM di kawasan tumpuan rakyat dan pelancong.

“Ramai daripada kita dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa adalah kerana di belakang tabir, anggota keselamatan dan risikan negara sentiasa berusaha menangani sebarang ancaman secara cepat dan berkesan.

“Anggota keselamatan tidak melakukan semua itu untuk mendapat pujian sebaliknya menyabung nyawa hari demi hari hanyalah kerana sayangkan negara dan ingin selamat sentiasa,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan demi tanah air tercinta.

“Saya berdoa semoga semua anggota PDRM dan ahli keluarga mereka sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT. Terima kasih dan selamat menyambut Hari Polis ke-209,” katanya.