Buku Pertahan Muhyiddin Diedar Hari Terakhir PAU 2015

236
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Buku kecil mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya diedarkan kepada ahli-ahli Umno pada hari terakhir mesyuarat agung tahunan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Buku kecil setebal 28 muka surat bertajuk “Aku Bukan Petualang, Berani Kerana Benar” diedarkan di beberapa pintu masuk bangunan itu sekitar 8 pagi hari ini.

Ia mengandungi penjelasan tentang mengapa Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan usaha mencari kebenaran tentang syarikat sarat hutang milik Kementerian Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kemunculan buku kecil ini ekoran Muhyiddin dan beberapa pengkritik 1MDB lain dalam dinafikan menggunakan landasan rasmi pada perhimpunan Umno daripada bercakap kepada ahli.

Buku itu juga turut diedarkan kepada hadirin pada majlis ramah mesra bersama Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut dihadiri Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin malam tadi.

“Berani kerana benar” yang menjadi sebahagian tajuk buku kecil itu juga adalah slogan tertera di belakang baju kumpulan yang menggelar diri mereka Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang menuntut peletakan jawatan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Dengan 11 bab, buku kecil itu menampilkan wajah Muhyiddin hampir pada setiap halaman dengan teks iringan sebanyak 3 hingga 8 perenggan.

Di antara tajuk bab yang terkandung dalam buku itu adalah “Sikap party man”, “Fasa kritikal Umno”, “Luahan jiwa anak Pagoh”, dan “Bukti bukan si petualang”.

Bagaimanapun buku itu tidak mengandungi sebarang maklumat tentang penerbit atau pencetak. – INSIDER