Budaya Kebencian Ditanam Pada UMNO Dan BN – Zahid

224
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

Foto oleh: Khizairi Khizan

SERDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan anggota UMNO untuk menyantuni pengundi bagi menangkis budaya kebencian yang ditanam terhadap parti dan kerajaan.

“Kebencian ditanam pada UMNO dan BN. Semua kita buat tidak betul. Kita perlu ada di hati dan minda pengundi,” jelasnya di hadapan lebih 1,000 perwakilan UMNO Bahagian Puchong.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu lagi, bantuan dalam bentuk kewangan, infrastruktur dan pembangunan sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu mengisi kerohanian dan hati nurani pengundi.

“(Adalah) salah duit beli pengaruh. Ada persepsi yang salah diberikan…. Jangan ingat faktor duit boleh beli segala-galanya,” tegasnya sambil memaklumkan bahawa Selangor adalah negeri terbanyak menerima peruntukan dalam PRU-13 tetapi UMNO dan BN terus gagal menawan semula negeri termaju itu.

Zahid kemudian menyenaraikan tiga punca kekalahan UMNO dan BN iaitu budaya kebencian yang ditanam pembangkang, peperangan sesama sendiri dan pendekataan komunikasi konvensional dalam menyantuni pengundi muda.

“Kita ini generasi ‘X’. Pengundi muda hari ini generasi ‘Y’ dan anak cucu kita generasi ‘Z’. Tapi pendekatan kita masih generasi ‘X’.”

Zahid terdahulu memulakan ucapan dengan berjenaka agar pemimpin disokong dan bukan sekadar dipuji dengan memberikan analogi pokok yang rendang dan berbuah lebat.

“Kalau sayang saya cukuplah disiram. Jangan letak baja hari-hari nanti cepat mati,” selorohnya sambil disambut gelak ketawa perwakilan.

UMNO Puchong sebelum itu menayangkan video cabaran politik Zahid termasuk ketika krisis pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.