BR1M: Jangan Sampai Bebankan Golongan Pendapatan Sederhana

34
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk tidak membebankan golongan lain terutama yang berpendapatan sederhana dalam usaha untuk menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah menerusi pembentangan Bajet 2016.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman berkata, hal ini kerana matlamat sebenar BR1M diperkenalkan bagi membantu kumpulan penerima berkenaan dalam menampung kos sara hidup yang tinggi terutama di kawasan bandar.

Bagaimanapun katanya, golongan lain terutama mereka yang berpendapatan sederhana tidak seharusnya dibebankan akibat pemberian BR1M.

“Bukan golongan berpendapatan rendah sahaja yang perlu menampung kos sara hidup tinggi kerana mereka yang berpendapatan sederhana juga perlu ‘survive’ atau turut berhadapan dengan keadaan itu.

“Oleh itu, jika ada sebarang kenaikan yang mungkin secara tidak langsung bertujuan untuk memberikan BR1M sehingga membebankan golongan lain adalah tidak wajar,” katanya.

Beliau mengulas mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lalu yang menegaskan bahawa kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan kadar pemberian BR1M sekiranya kadar tol tidak dinaikkan.

Berkuatkuasa Khamis lepas, kadar tol di beberapa lebuh raya dan jalan utama termasuk di Lembah Klang yang dikendalikan beberapa syarikat konsensi naik antara 10 sen dan RM6.

Sehubungan itu, Yusof berkata, kerajaan seharusnya tidak mewujudkan satu bentuk yang bertentangan dalam membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Bagi Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba, kerajaan boleh memanfaatkan peruntukan berdasarkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk pemberian BR1M selain kemudahan-kemudahan lain untuk rakyat seperti pendidikan, perubatan dan rumah mampu milik.

Katanya, walaupun pembentangan bajet setiap tahun kebiasaannya akan memberi lebih tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah namun kerajaan seharusnya tidak meminggirkan golongan berpendapatan sederhana.

“Oleh itu, setiap peruntukan kerajaan perlu dilakukan secara berhemah. Ini termasuk peruntukan yang diperoleh berdasarkan kutipan GST.

“Jangan kerana hendak bantu golongan yang ini, golongan yang lagi satu terbeban. Oleh itu, perbelanjaan yang dibuat secara berhemah untuk kepentingan rakyat secara bersama, sudah tentu akan membantu dalam pemberian BR1M dengan lebih baik.,” katanya.

Dilaporkan, kerajaan akan terus menyalurkan BR1M dengan kenaikan jumlah peruntukan lebih tinggi pada tahun depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, perkara tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini. – MSTAR

SHARE
Previous articleIPU Shah Alam Tertinggi, 211 Sangat Tidak Sihat Jam 7 Pagi
Next articleMKN Tingkatkan Pengurusan SOP Banjir