Boleh Tarik Diri Jika Tidak Selamat – Khairy

64
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia masih mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada menyertai perlawanan menentang Palestin dalam aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Hebron jika keadaan tidak selamat, 24 jam sebelum pasukan negara tiba di Palestin.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata jika pihaknya menerima berita mengenai sebarang serangan di kawasan laluan pasukan Malaysia, beliau akan bertindak memastikan Malaysia menarik diri daripada turun ke Stadium Dura, 12 November ini.

“Kita ada pegawai Kementerian Luar yang akan bekerjasama dengan penguasa tempatan untuk memantau dan menjaga keselamatan pemain. Sudah pasti kita akan ambil langkah berjaga-jaga, kita akan pantau keadaan pada setiap masa.

“Saya rasa yakin bahawa mereka (Harimau Malaya) boleh ke Palestin. Saya sudah berkomunikasi dengan Duta Palestin ke Malaysia dan beliau telah memberi jaminan keselamatan untuk pasukan kita ke Hebron,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2015 malam tadi.

Khairy berkata, beliau juga sudah berbincang mengenai hal keselamatan pemain Malaysia dengan pihak Kementerian Luar yang bertanggungjawab terhadap kawasan Asia Barat.

“Saya sendiri sudah menerima jaminan secara peribadi daripada Duta Palestin dan beliau sendiri akan mengiringi pasukan kita dari sempadan ke stadium.

“Beliau memaklumkan bahawa kerajaan Palestin akan memudahkan pasukan kita melalui check point yang di kawal oleh rejim Israel,” kata Khairy.

Katanya, walaupun ada kebimbangan daripada pihak Wisma Putra dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri, namun jika rayuan kedua FAM tetap tidak diterima Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), beliau akan memaklumkan kepada FAM agar meneruskan perlawanan di Hebron.

Media melaporkan FAM menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA menerusi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Ahad, susulan kebimbangan mengenai keadaan di kawasan bergolak itu.

SHARE
Previous articleTony Pua Tarik Diri Debat 1MDB
Next article300 Ulama Seluruh Dunia Berzikir di Putrajaya