BN Tidak Akan Benarkan Cubaan Tubuh Kerajaan Ikut Pintu Belakang – Zahid

173
0
SHARE

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan cubaan untuk menubuhkan kerajaan baharu melalui pintu belakang. Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan yang dipilih secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

“Saya tahu musuh politik kita akan cuba dengan pelbagai cara agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan. Oleh itu, kita sebagai ahli UMNO dan BN harus bersatu padu memastikan kerajaan yang ada perlu didukung terus oleh UMNO dan BN.

“Keyakinan saya di Sabah cukup kukuh dan kuat menyatakan bahawa kerajaan negeri dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman tetap untuk UMNO dan BN. Ia kerana Sabah adalah ‘simpanan tetap’ yang kukuh untuk UMNO dan BN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Penampang, di sini, malam ini.

Turut hadir Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose. Mesyuarat itu dihadiri seramai 225 perwakilan. Terdahulu, Musa berkata, perjuangan UMNO Sabah adalah untuk semua kaum termasuk masyarakat Kadazandusun (KDM) di negeri ini.

“Walaupun pemimpin dan ahli UMNO Penampang ini ramai daripada kalangan KDM, namun pucuk kepemimpinan parti serta kerajaan tidak pernah sama sekali meminggirkan kepentingan UMNO Penampang. “UMNO Penampang unik dan istimewa kerana ia diterajui Datuk John Ambrose, daripada KDM,” katanya.