Bersih 4.0 Ujian Realiti Untuk Najib – Kumpulan Penyelidik

756
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 4 esok akan menjadi ujian realiti untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering mendakwa beliau mendapat sokongan rakyat terbanyak negara ini, kata sebuah kumpulan penyelidikan tempatan.

Iman Research berkata, Najib selama ini bergantung kepada kesahihan demokrasi dalam pemilihan beliau bagi membolehkannya melakukan apa yang dikehendaki, tetapi saiz perhimpunan akan datang ini mungkin boleh mencabar perkara itu.

Kumpulan penyelidik itu berkata, Bersih 4 usaha besar-besaran pertama mengumpul suara mereka yang berbeza pendapat, sebagai tindak balas kepada perkembangan terkini di Malaysia seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), derma AS$700 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun Najib, rombakan Kabinet dan ekonomi yang semakin buruk.

“Tanpa adanya penerbitan berhubung penarafan kelulusan presiden seperti di Amerika Syarikat, Bersih 4 malangnya terpaksa menjalankan misinya dalam sebuah negara yang resah dan seperti kehilangan pemimpin.

“Dalam erti kata lain, ia akan menjadi ujian realiti bagi perdana menteri yang mendakwa mendapat sokongan rakyat dan partinya.

“Sehingga kini, kesahihan demokrasi diandaikan sebagai asas bagi kedudukan Najib dan keputusan drastik yang diambilnya dalam menyingkirkan lawan dan penentang beliau daripada kerajaan,” kata Iman Research dalam satu kenyataan.

Ia berkata, hasil perhimpunan pada hujung minggu ini akan “mencondongkan tongkat kesahihan” dan menentukan rentetan peristiwa yang akan berlaku di negara ini beberapa bulan akan datang.

Saiz perhimpunan itu juga akan membantu penentang Najib menyediakan satu usul undi tidak percaya di Parlimen, katanya.

“Masa perhimpunan tersebut, kira-kira sebulan sebelum Parlimen memulakan sidang ketiganya tahun ini, ketika mana bajet akan dibentangkan, juga baik untuk penentang Najib.

“Rampasan kuasa Parlimen dalam bentuk undi ‘tidak percaya’ dicadangkan sebelum ini oleh pengkritik paling lantang Najib, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam konteks ini, perhimpunan itu bukan sahaja satu demonstrasi tidak percaya, tetapi juga akan dinilai pemain politik yang berminat.”

Iman Research berkata, kejayaan Bersih 4 bergantung bukan sahaja pada jumlah kehadiran peserta, tetapi sokongan yang diterima daripada orang Melayu dan belia.

Katanya, ia juga akan membuktikan sama ada kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 boleh merentasi kelas dan etnik, kerana PAS tidak akan menggerakkan penyokongnya tahun ini.

Keupayaan menarik sokongan orang Melayu, tanpa penyertaan PAS, juga akan menjadi satu petunjuk terhadap masa depan gabungan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Gerakan Harapan Baru itu, katanya. – INSIDER