Bersih 4.0 Jimatkan Berbilion Kos Promosi Pelancongan – Nazri

190
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Demonstrasi Bersih 4 di Kuala Lumpur pada Ogos lalu menjimatkan perbelanjaan kerajaan bernilai bilion ringgit dalam bentuk pengiklanan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini berkata demonstrasi itu menerima liputan meluas media antarabangsa dan secara tidak langsung mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia.

“Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada CNN, Al Jazeera dan BBC kerana bersiaran setiap hari, setiap jam membuat liputan demonstrasi baju kuning menentang perdana menteri,” katanya merujuk kepada stesen penyiaran antarabangsa dan warna baju yang dipakai peserta demonstrasi.

“Kita menjimatkan iklan berbilion ringgit dan ini juga menunjukkan Malaysia mengamalkan demokrasi dan membenarkan demonstrasi dilakukan terhadap perdana menteri.

“Jadi saya dapat jimatkan duit untuk iklan dengan demonstrasi sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika soalan tambahan daripada Liang Teck Meng (Barisan Nasional (BN)-Simpang Renggam) dalam Dewan Rakyat, hari ini.