Bersih 4.0 Berjaya Tetapi Sukar Lobi Ahli Parlimen BN – Maria Chin

346
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penganjur demonstrasi Bersih 4 berkata sukar untuk mereka melobi ahli Parlimen melaksanakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila Parlimen bersidang Oktober depan meskipun demonstrasi yang berakhir malam tadi berjaya dilaksanakan.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya menganggarkan sekitar 500,000 peserta menyertai demonstrasi tersebut dan sasaran seterusnya adalah untuk pilihan raya umum dilaksanakan antara tempoh 12 hingga 18 bulan lagi.

“Kami perlu bekerja keras untuk melobi ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia ditangkap dan kini sedang “menantikan” tindakan pihak berkuasa.

“Pasukan guaman kami bersedia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Maria berkata, Bersih 4 sudah berjaya menerima kutipan derma daripada orang ramai sebanyak RM2.45 juta.

“Kami berulang kali meminta peserta perhimpunan aman untuk meminta ahli Parlimen mereka meneruskan undi tidak percaya kepada perdana menteri dan ia perlu berterusan. Itu janji yang kita bawa sejak Bersih 2,” kata Maria.

Beliau berkata, selaras dengan himpunan tersebut yang antaranya mendesak pengunduran Najib, pemerhati pilihan raya itu mencadangkan kerajaan sementara dibentuk untuk membangkitkan pembaharuan institusi.

Ini termasuk dengan membersihkan daftar pemilih, melihat kembali kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pilihan raya yang diadakan antara 12 hingga 18 bulan.

“Ia bagi membolehkan kita memperbetulkan sistem dan bukan hanya perdana menteri. Kerana, membetulkan perdana menteri semata-mata tidak membawa perubahan yang kita inginkan,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mengharapkan bekas perdana menteri itu belajar daripada kesilapannya kerana beliau menentang demonstrasi jalanan ketika era pemerintahannya.

“Ia positif. Saya tahu beliau tidak menyokong tuntutan kami.

“Namun, kuasa rakyat sentiasa bersama kami, bukan Dr Mahathir atau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada gereja, kuil dan imam yang mengetuai solat harian antara peserta serta anggota polis.

Bagaimanapun, sambil memuji pasukan keselamatan yang berjaya mengawal keadaan, Maria berkata, pihak polis boleh membantu dengan melakukan lebih banyak perkara seperti menguruskan trafik dan kawalan peserta.

“Tidak ketinggalan, terima kasih juga kepada peniaga, restoran, dan gerai yang memberikan makanan percuma, air minuman dan kebenaran menggunakan tandas mereka,” katanya.