Bersih 4.0 Akan Diteruskan Sepertimana Yang Dirancang – Maria Chin

201
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 4.0 akan diteruskan sepertimana yang dirancang, demikian kata pengerusi jawatankuasa penganjurnya Maria Chin Abdullah.

Katanya, walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan pekeliling mengharamkan baju-T Bersih 4.0 dan sebarang penerbitan yang berkaitan dengannya tetapi mereka akan tetap meneruskan perhimpunan tersebut seperti yang dirancang dan sama sekali tidak akan membatalkannya.

Malah beliau menegaskan, pengharaman penggunaan baju-T yang tertera perkataan Bersih 4.0 itu tidak sama sekali menghalang mereka daripada meneruskan perhimpunan tersebut.

“Pelan kami tidak akan berubah. Ia tetap akan diadakan sebagaimana yang dirancang esok (Sabtu),” ujarnya lagi.

Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat telah mengeluarkan pekeliling yang ditandatangani oleh menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa yang mengharamkan pemakaian dan pengedaran apa jua bahan yang memaparkan Bersih 4.0.

Pengharaman itu dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Ke Atas Penerbitan Unsur-Unsur Yang Tidak Diingini (No 22) 2015.

Ia akan berkuatkuasa pada Jumaat.

Di bawah perintah itu, antara lain menyebut penerbitan, ulang terbit, penjualan, pengedaran atau memiliki sebarang penerbitan ke atas bahan-bahan yang boleh dilihat sebagai menjejaskan ketenteraman awam dan juga keselamatan atau bertentangan dengan mana-mana undang-undang.