“Bersabar Orang Tua, Tunggu PRU” – Nazri Aziz Kepada Tun M

632
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bersabar dan menunggu pilihan raya umum akan datang.

“Nasihat saya kepada orang tua ini ialah bersabar, tahun 2018 akan datang, awak akan ada masa awak untuk berlawan dengan kami. Awak mahu tumbangkan kami, tidak ada masalah.

“Tetapi untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dengan cara tidak demokratik, ini sesuatu yang kita tidak boleh terima,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga adalah ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian ketika mengulas usaha bekas perdana menteri itu untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Najib Razak.

Walaupun mengakui sumbangan Dr Mahathir kepada negara, Nazri berkata cubaan untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak demokratik adalah tidak baik tanpa mengira kedudukan seseorang itu.

“Ini adalah sebuah negara demokrasi, kerajaan ini telah dipilih secara demokratik,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Nazri menyifatkan Mahathir sebagai seorang ahli politik ‘low class’ atau kelas rendah kerana mengambil langkah menghalalkan cara asalkan niatnya tercapai.

“Dia kini sudah sampai ke tahap ahli politik yang ‘low class’. Sungguh sedih. Tetapi nak buat macam mana. Dia buat diri dia macam itu,” katanya. – MK