Zionis Letupkan Terowong Paling Panjang Dan Dalam Milik Hamas

9
0
KONGSI

Oleh : Wartawan MySuara

GAZA – PALESTIN: Menurut tentera rejim Zionis semalam, mereka telah meletupkan sebuah terowong milik Pergerakan Hamas yang dibina dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel.

Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman berkata terowong berkenaan adalah yang paling panjang dan dalam pernah ditemui Israel.

Memetik laporan Sinar Harian, terowong tersebut melintasi wilayah Israel dengan hanya beberapa meter, namun ia belum mempunyai titik keluar, kata jurucakap tentera Jonathan Conricus.

Terowong tersebut yang merentasi sempadan berkenaan, mungkin digunakan untuk menyerang Israel.

Sejak 20014, penggalian terowong oleh Hamas menjadi isu utama yang mencetuskan peperangan dengan Israel.

“Ini adalah terowong kelima yang kami musnahkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Terowong tersebut digali dari kawasan Jabaliyah di utara Gaza dan ia menuju ke kawasan komuniti Nahal Oz di Israel,” katanya.

Selain menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata, tentera Israel turut didakwa menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Operasi itu dibuat selepas protes besar-besaran di sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu yang menyaksikan pertempuran antara tentera Israel dan penduduk Palestin berhampiran pagar sempadan.

Anggaran 34 orang rakyat Palestin terbunuh dalam ketegangan tersebut, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan akibat terkena tembakan tentera Israel.

Tindakan Zionis itu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa, namun mendapat ‘lampu hijau’ daripada sekutu kuatnya, iaitu Amerika Syarikat.

Lieberman sebelum ini menegaskan, peraturan menembak secara terbuka di sempadan Gaza yang menyaksikan anggota tentera Israel membunuh puluhan penduduk Palestin tidak akan diubah.

Lieberman berkata, sebarang provokasi akan dibalas dengan tindakan itu, seperti yang berlaku pada minggu lalu.

“Kami tidak bercadang untuk mengubah peraturan berkenaan,” katanya.