Zakir Naik Hargai Pendirian Malaysia

19
0

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik, menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana terus membenarkannya berada di negara ini selagi beliau terus mematuhi undang-undang negara.

Beliau berkata, keputusan Kerajaan Malaysia yang mengkaji amalan 25 tahun beliau sebagai pendakwah bebas yang tidak mempromosikan keganasan dalam Islam tanpa perspektif berat sebelah adalah sangat dihargai.

Katanya, keputusan itu menguatkan keyakinannya terhadap keadilan dan keharmonian yang menjadi kejayaan penyatuan antara masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Saya berbangga (merendah diri) untuk menjadi sebahagian daripada komuniti di sini (Malaysia) dan saya sedar sensitiviti untuk berada di sini.

“Saya tidak pernah berniat untuk mengganggu keharmonian masyarakat dalam pelbagai cara sekali pun, atau melanggar undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakir berkata beliau juga tidak pernah menerima bantahan daripada komuniti bukan Islam di India sehinggalah pada September 2012.

Katanya, dipercayai sekumpulan komuniti fanatik keagamaan mula mengancam dan cuba menjatuhkan imej beliau.

“Matlamat saya adalah untuk mengamalkan keharmonian dan keamanan tanpa sebarang tuduhan dilemparkan kepada saya,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, Kerajaan memutuskan tidak akan menghantar pulang Zakir ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.

Dr Mahathir berkata, penceramah itu tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan pihak yang mahu Zakir dihantar pulang ke India kerana ia memerlukan pertimbangan banyak faktor, termasuk undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Hassan, dilaporkan berkata polis akan memantau pergerakan Zakir bagi meneliti tindakan dan kegiatannya yang didakwa boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara.

Pengerusi Hak Asasi dan Hubungan Antarabangsa Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Datuk Hazizah Kassim, berpandangan semua pihak perlu patuh kepada peruntukan Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) yang memberi ruang kepada pesalah buruan mendapat keadilan sewajarnya berdasarkan elemen undang-undang.

Katanya, walaupun Malaysia ada perjanjian ekstradisi dengan mana-mana negara, Akta 479 tetap terpakai.