Zahid Pengerusikan HLC Kos Sara Hidup Rakyat

181
0

Oleh: Shaiful Nizam

PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Menangani Kos Sara Hidup Rakyat hampir tiga jam di Putrajaya pagi tadi bagi mengambil langkah bersepadu untuk meringankan beban rakyat.

Mesyuarat terbaru setiap bulan itu yang merupakan kesinambungan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup Rayat yang turut dipengerusikan oleh Zahid itu turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian yang berkaitan.

Menteri berkenaan yang dilihat hadir pagi tadi ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dua lagi menteri yang terlibat yang menghantar wakil ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Hamzah yang ditemui kemudian dalam sidang media memaklumkan mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan usaha untuk mendidik rakyat dengan ilmu kepenggunaan seperti memahami kepentingan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan bagaimana faktor ekonomi serta harga minyak mempengaruhi kenaikan harga barang.

“Kepentingan dari segi Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu apakah cara kaedah baru (menjadikannya) sesuatu yang boleh difahami.

“Untuk itu, perlu ada kaedah komunikasi paling baik dilakukan secara holistik untuk mengelak salah faham atau putar belit kenaikan harga kos barang. Antara lain, kita membincangkan keperluan sama ada ilmu kepenggunaan diajar pada peringkat sekolah,” jelasnya dalam sidang media ringkas.

Turut dibincangkan ialah penambahbaikan Kad Siswa agar agar peranannya dapat diperluaskan dan diterima pakai di semua tempat di seluruh negara seperti penggunaan kad yang sama di United Kingdom.

“Kami bincang secara umum langkah-langkah yang perlu diambil dan maklumat terperinci akan dibentang dan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kos Sara Hidup Rakyat akan datang,” katanya yang tidak menjawab keseluruhan soalan media kerana mesyuarat pengenalan pagi tadi masih baru dan di peringkat awal.