YKN Lancar Tabung Derma Rakyat Palestin

50
0

Oleh : Fadhil Daud

PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk membantu dan menyokong pelbagai pihak dalam isu rakyat Palestin yang tertindas terutamanya berkaitan aspek kemanusiaan seperti bantuan pendidikan dan kebajikan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu wakil United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA) berjumpa dengannya untuk menzahirkan hasrat bagi mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan Malaysia bagi mengumpul derma untuk membantu rakyat Palestin yang memerlukan.

Inisiatif itu diterjemahkan bagi mengumpul dana kilat sebagai bentuk keprihatinan rakyat Malaysia dalam menyediakan keperluan barangan, kebajikan dan peralatan berkaitan pendidikan di sana.

“Saya difahamkan dana aktiviti Agensi Bantuan dan Kebajikan untuk penduduk pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) dibiayai hapir sepenuhnya oleh sumbangan sukarela dari negara anggota PBB.

“Namun, agensi tersebut telah berhadapan drngan masalah kewangan serius dan memerlukan lebih RM800 juta dana sehingga akhir tahun ini untuk membiayai pelbagai projek dan bantuan.

“Kerajaan yakin ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan terpanggil untuk membantu rakyat Palestin. Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebagai sebuah tabung kebajikan yang ditubuh dan dikawalselia oleh kerajaan membuka tabung dan membantu pihak UNRWA,” katanya kepada pemberita  sebentar tadi.

Terdahulu, agensi itu menerima sumbangan tajaan Alliance Islamic Bank Berhad dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM287 ribu untuk membantu kumpulan sasarnya dalam menjalani rawatan dialisis di YKN Dialisis.