Yang Disebarkan Sisi Buruk Saja – Norhizam

123
0

KUALA LUMPUR: Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee menganggap visual perang mulut antara beliau dengan penduduk Kampung Nibong di Ayer Molek, sengaja disebarkan pihak tertentu untuk memburuk-burukkan dirinya.

Dakwanya, video yang tular pada kejadian 8.45 pagi semalam adalah sebahagian dari babak pentengkaran manakala fakta sebenar berhubung penutupan jalan itu tidak pula disebarkan.

“Yang disebarkan hanyalah sisi buruk saya, sisi saya mendengar atau memuji, menyokong atau membantu penduduk kampung tidak pula disebarkan, tidak mengapa.

“Saya terima dan akur kerana saya sedia maklum, itulah sifat sebenar manusia yang lebih terarah menggali keburukan berbanding mengangkat kebaikan,” kata Norhizam dalam kenyataannya, hari ini.

Menerusi sebuah video berdurasi 2 minit 27 saat yang tular di media sosial semalam menunjukkan perang mulut antara Norhizam dengan sekumpulan penduduk di Taman Akasia di Kampung Nibong.

Kejadian berlaku ketika Norhizam yang juga adalah ADUN Pengkalan Batu hadir di taman itu bagi menghadiri sesi dialog dan sidang media berhubung penutupan jalan pintas antara Taman Akasia menuju ke Taman Kerjasama di Bukit Beruang.

Bagaimanapun, program sesi dialog itu bertukar menjadi kecoh apabila sekumpulan penduduk yang dipercayai anggota parti pembangkang meminta Norhizam segera memberikan penjelasan mengenai penutupan jalan pintas berkenaan.

Katanya ketika beliau berbincang dan memberi penjelasan kepada penduduk, dirinya secara tiba-tiba ‘diserang’ sekumpulan individu yang menyoalnya dengan soalan-soalan panas

“Namun, ia tidak menjadi masalah pada saya untuk menjawab soalan-soalan berkenaan lantaran saya adalah wakil rakyat kawasan berkenaan dan perlu bersedia berhadapan dengan situasi tidak diduga seperti ini,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, Norhizam yang juga adalah timbalan pengerusi DAP Melaka menjelaskan pada mulanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) mencadangkan agar jalan berkenaan yang di bawah milikan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) ditutup bagi keja-kerja penambahbaikan kawasan itu.

Bagaimanapun, hasil perbincangan semalam, mereka bersetuju membenarkan jalan itu digunakan penduduk setempat dengan syarat ia hanya dibuka kepada kenderaan ringan sahaja dan jalan berkenaan tidak boleh digunakan semasa hujan lebat. – MK