Wujudkan Mekanisme Tingkat Keharmonian Antara Agama – Najib

165
0
KONGSI

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) diwujudkan sebagai satu mekanisme bagi meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia juga berperanan bagi mencari penyelesaian jika berlaku masalah atau konflik antara penganut agama.

“Usaha bagi membina negara bangsa memerlukan tempoh yang lama dan bagi mengukuhkan lagi integrasi nasional, kita perlukan kerjasama yang terancang.

“Bagi mencapai persefahaman ini kita perlu melihat kepada Perlembagaan negara serta mengenal pasti nilai utama iaitu rasa hormat, bekerja secara bersama dan semangat untuk bertolak ansur antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama, di sini, sebentar tadi.

Seramai 32 wakil dan ketua penganut agama menerima watikah pelantikan berkenaan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2017.