25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, December 17, 2018

Wang Pendeposit Tabung Haji Selamat

13
0

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Datuk Seri Zukri Samat hari ini memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenai kesan laporan polis baru-baru ini terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, bekas pegawai eksekutif dan kakitangan pe­ngurusan kanan.

Beliau berkata laporan polis itu tidak memberi kesan kepada operasi Tabung Haji.

“Perniagaan adalah seperti biasa bagi kami. Para pendeposit harus meletakkan kepercayaan bahawa Tabung Haji akan memastikan simpanan mereka selamat,” katanya.

Jumaat lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Antara pihak yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah dan beberapa kakitangan kanan termasuk Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.

Menurut Tabung Haji, laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji pada tahun 2017 bahawa dana melebihi RM22 juta te­lah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Laporan kedua pula membabitkan Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan penjualan 95 peratus pegangan saham dalam syarikat PT TH Indo Plantations yang dimiliki oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn. Bhd. (THI) dan TH Indo Industries Sdn. Bhd. (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk RM3.8 bilion (AS$910 juta) pada tahun 2012.

Kesalahan yang didakwa dilakukan dalam laporan kedua adalah berkaitan memberi gambaran yang salah dan menyembunyikan maklumat sebenar tentang penjualan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa semalam mengeluarkan ke­nya­taan yang mengulangi bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sesiapa yang terlibat dalam penggelapan wang pendeposit TH.

MySuaraFM
MySuaraTV