Wan Junaidi Dilantik Komisioner Kehormat Jabatan Penjara

248
0
KONGSI

KUCHING: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini dilantik sebagai komisioner kehormat Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau menerima lambang pangkat itu daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, pada majlis sambutan Hari Penjara Kebangsaan ke-226 di sini.

Wan Junaidi diberi pangkat itu sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam membangunkan jabatan berkenaan dari segi pemulihan banduan ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Turut diberi penghormatan ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah dan pengerusi Persatuan Orang Kota Baru (OKB) Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad, yang masing-masing dilantik sebagai penolong kanan komisioner.

Pada majlis sama, 10 pegawai penjara dari seluruh negara dinaikkan pangkat sebagai Penguasa Penjara. Mereka menerima lambang pangkat masing-masing daripada Ahmad Zahid dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.