Wan Azizah Sampaikan Ucaptama Di WMLF

8
0

LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menyampaikan ucaptama pada Forum Kepemimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2018, sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke United Kingdom (UK).

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memulakan lawatan ke UK, hari ini yang merupakan lawatan rasmi sulungnya ke negara ini selepas dilantik dalam barisan Kabinet pada 21 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Merupakan pemimpin wanita pertama Malaysia memberi ucapan di forum dwitahunan esok, kehadiran beliau dijangka akan memantapkan lagi forum itu, pertama sebagai pemimpin Malaysia nombor dua dan peranan negara dalam memperkasakan wanita dalam semua sektor, sosial, ekonomi, pentadbiran dan politik.

Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Mohd Suhaimi Jaafar, berkata forum itu antara lain bertujuan mengumpulkan pemimpin Islam dari pelbagai pelusuk dunia untuk meneroka isu-isu utama, menangani cabaran dan menyediakan penyelesaian inovatif untuk menghapuskan tanggapan berhubung keganasan dan Islam.

Memberikan taklimat kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan timbalan perdana menteri ke sini, beliau berkata ucaptama Dr Wan Azizah pada edisi keempat WMLF bertajuk, The Role of Women and Girls in Achieving the UN Sustainable Development Goals by 2030.

Mohd Suhaimi berkata, ucaptama timbalan perdana menteri antara lain menekankan untuk memastikan kehidupan yang sihat, menamatkan kemiskinan, menutup jurang mengenai jantina dan kecacatan, mengiktiraf peranan wanita, mempromosikan hak wanita dan kanak-kanak perempuan serta mengoptimumkan sumbangan pada masa yang sama mengimbangi tanggungjawab mereka.

Forum dua hari itu akan diadakan di Lambeth Palace dan di House of Commons, Westminster, yang membawa tema Peranan Kepimpinan Islam Dalam Membina Semula Imej Global Islam, yang memberi tumpuan empat aspek kritikal iaitu mewujudkan naratif baharu mengenai Islam; mengukuhkan kepemimpinan Islam di semua peringkat landskap sosio ekonomi dan politik; pemerkasaan wanita dan peranan wanita dalam membentuk semula naratif Islam yang baharu.

Forum itu juga bertujuan mewujudkan platform bagi pemimpin Islam untuk menawarkan penyelesaian kepada masalah semasa seperti pendidikan belia, keusahawanan dan advokasi untuk pembangunan mampan.

Mohd Suhaimi berkata, Dr Wan Azizah juga dijadualkan melawat Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), kira-kira dua jam perjalanan dari metropolitan London dan mengambil bahagian dalam perbincangan dengan para akademik.

Di Oxford, timbalan perdana menteri akan melawat Worcester College, University of Oxford dan Sultan Nazrin Shah Centre, venue bertaraf dunia yang menyediakan kemudahan bagi persidangan dan acara di kolej itu.

Mempunyai jadual yang padat, Dr Wan Azizah juga akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang menetap di UK pada majlis makan malam yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Pada Jumaat, timbalan perdana menteri dijadual bertemu Lord Ahmad of Wimbledon, yang juga Menteri Negara bagi Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Wakil Khas Perdana Menteri bagi Kebebasan Beragama atau Kepercayaan.

Dr Wan Azizah juga akan mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat dengan pelabur terkemuka dan syarikat-syarikat British yang dianjurkan oleh Asia House.

Program lain yang dijadualkan bagi timbalan perdana menteri termasuk melawat London Central Mosque (Regents Park Mosque) dan bertemu ulama Muslim tempatan.

“Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mencerminkan keazaman kita untuk bekerjasama dengan UK untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu antara kedua-dua negara,” kata Mohd Suhaimi.

Lawatan rasmi Dr Wan Azizah itu turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya, serta pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.