Wak Doyok Sertai Amanah

18
0

CERITA politik melibatkan selebriti bermisai lentik, Wak Doyok, seakan tiada kesudahannya memandangkan ada saja kisah baru melibatkannya menarik perhatian netizens.

Memetik laporan Malaysiakini, pereka fesyen tempatan itu pernah dilihat menghadiri majlis-majlis berkaitan BN namun beliau mendakwa kehadirannya hanya kerana memenuhi undangan dan menambah pendapatan.

Malah, sebelum ini juga beliau pernah mengaku menjadi ahli Pas sejak 1998 dan terbaru, sekali lagi kisahnya menjadi tumpuan apabila jejaka berusia 38 tahun ini dikatakan menyertai Amanah pula pada minggu lepas.

“Saya baru saja serah borang di pejabat cawangan baru, Seksyen 13 Shah Alam. Saya difahamkan mungkin proses untuk mendapatkan nombor keahlian boleh memakan masa hingga sebulan.

“Saya sayang pucuk pimpinan lama seperti Mohamad Sabu, Khalid Abdul Samad, Salahuddin Ayub dan Dr Dzulkefli Ahmad. Dr Dzulkefli  itu bapa mertuanya menjadi imam di surau tempat saya, jadi memang rapat dengan keluarganya.

“Saya memang bergiat aktif untuk masyarakat sejak dulu, kali ini saya ingin mengajak anak-anak muda agar menjadi bangsa lebih dihormati di mata antarabangsa dan membantu membentuk belia yang mempunyai perancangan masa depan,” katanya.

Menyedari tindakannya itu menerima kecaman daripada netizens, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor menegaskan tiada yang pelik dengan tindakannya itu kerana Malaysia adalah negara demokrasi.

“Yang tidak berpuas hati, mereka tiada hak untuk menghalang kerana ini pilihan individu malah mereka tidak boleh sekat sesiapa untuk masuk mana-mana parti.

“Nak cakap saya lalang atau masuk sebab jawatan itu, terpulang kerana yang penting saya tahu apa yang diperjuangkan.