Vincent Tan Mahu Sumbang RM50 Ribu Pada Muhammad Adib

22
0

KUALA LUMPUR: Tokoh perniagaan Vincent Tan akan mendermakan RM50,000 kepada Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang tercedera dalam insiden rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, 26 Nov lalu.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi membantu Muhammad Adib, 24, yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dan dijangka melangsungkan perkahwinan bulan ini.

“Kita beri sumbangan ini untuk bantu Muhammad Adib yang sedang dirawat dan akan berkahwin bulan ini atas dasar kemanusian,” katanya ringkas kepada pemberita.

Muhammad Adib, diserang perusuh pada awal pagi Selasa lalu ketika ditugaskan ke lokasi berhampiran kuil berkenaan.

Rusuhan berkenaan tercetus susulan pertikaian berhubung pemindahan tapak kuil yang tidak dipersetujui beberapa penganut Hindu.

Susulan itu, Muhamad Adib kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bagi membolehkan beliau menggunakan peralatan khas yang diharap dapat membantu beliau pulih lebih cepat.

Jumaat lalu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dr Mohd Azhari Yakub berkata keadaan Muhammad Adib semakin baik.

Setakat semalam, polis telah menahan 58 individu bagi membantu siasatan kes rusuhan tersebut.

Terdahulu, Tan mengadakan lawatan ke kuil berkenaan bersama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Dalam pertemuan itu Tan turut membincangkan cadangan penubuhan dana untuk membeli tanah kuil terbabit.

Katanya, ia adalah cara terbaik untuk memastikan kuil itu kekal di sana.