UTC Model Realisasi Slogan 1Malaysia – Najib

180
0
LABUAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan model realisasi slogan ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diilhamkannya selepas menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2009.
Semasa mengilhamkan slogan itu, beliau tidak mahu slogan itu tinggal sebagai slogan tanpa tindakan susulan bagi sebaliknya mahu memastikan natijahnya benar-benar dirasai rakyat seperti digambarkan oleh slogan itu sendiri.

“Pada saya ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ bukan sahaja slogan, tetapi mestilah disertai dan disusuli dengan tindakan-tindakan yang menepati kata-kata itu.

“Satu daripada caranya ialah kita perlu perkenalkan produk-produk dan kaedah pentadbiran yang selari dengan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Lantaran itu, kita buat Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan kita juga telah melahirkan UTC-UTC di seluruh negara.

“Bila kita lihat kapada konsep UTC, ia boleh digunakan oleh semua rakyat Malaysia, maka ia menepati konsep 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Labuan di Pasar Sentral Labuan di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Anggota Parlimen Labuan yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Rozman Isli.

UTC Labuan, yang dibina dengan kos RM23 juta dan siap dalam tempoh lapan minggu, menempatkan agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan untuk penduduk Labuan serta Lawas dan Limbang di Sarawak dan Kuala Penyu di Sabah.

Najib berkata konsep UTC, yang menempatkan semua pentadbiran kerajaan dekat dengan rakyat di bawah satu bumbung, amat menepati konsep rakyat didahulukan manakala pembinaannya yang mengambil masa singkat pula tepat dengan konsep rakyat diutamakan.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menyediakan sistem perkhidmatan kerajaan melalui konsep UTC yang bertujuan memberi perkhidmatan lebih cepat, cekap dan murah kepada seluruh lapisan rakyatnya.

Sementara itu, Najib menasihatkan penduduk Labuan yang mungkin merasa kesan akibat kejatuhan harga gas dan petroleum di pasaran global, supaya bersabar dan bertahan.

“Walaupun berdepan situasi sukar itu, kerajaan akan terus mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam keadaan ini, kita mestilah bertahan, faham akan keadaan ini kerana kita pernah mengalami keadaan lebih buruk pada masa-masa lalu. Saya percaya kalau rakyat terus bersama dengan kerajaan, memahami kerajaan, kita akan menanganinya dan kita boleh meletakkan asas yang lebih kukuh kepada ekonomi kita secara berterusan,” katanya.

Menurutnya dengan Malaysia turut mengalami kesan kejatuhan harga minyak,  beliau yakin ekonomi negara boleh berkembang antara 4.4 peratus hingga 4.5 peratus pada tahun ini berbanding 5.1 peratus pada sembilan bulan pertama tahun lalu.