Ustaz Selebriti Jangan Sebar Hadis Palsu – Mujahid

21
0

MELAKA: Pendakwah bergelar ‘ustaz selebriti’ dinasihatkan memiliki amanah dan disiplin ilmu dalam menyampaikan ceramah melalui mana-mana platform bagi mengelakkan penyebaran sebarang hadis palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, disiplin ilmu itu membabitkan penguasaan bahasa Arab lebih baik, kefahaman maksud hadis atau ayat serta tafsiran tepat mengikut peredaran masa kini.

“Saya nak beritahu, bukan semua selebriti begitu. Betul-betul bercakap atas ilmu ramai, ini yang kita kena perbanyakkan,” katanya.

“Saya nasihatkan ustaz ini lebih berdisiplin kerana bimbang segala penafsiran yang dibawa palsu selain boleh berlaku penipuan ilmu dalam berceramah.

“Segi penguatkuasaan, itu tanggungjawab majlis agama Islam di negeri masing-masing untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya. Di peringkat Persekutuan kita hanya boleh nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program persidangan antarabangsa, World Zakat Forum (WZF) Ke-7, di Hotel Equatorial, Bandar Hilir, di Melaka, hari ini.

Mujahid berkata, terma ustaz selebriti itu perlu dikaji sama ada perlu diiktiraf mengikut piawaian jika benar-benar menyampaikan amanah ilmu.

“Kalau merapu, tidak boleh selebriti. Ia perlu diletak pada satu taraf, piawaian. Maksud selebriti dengan amanah ilmu, baru kita letak maksudnya.

“Masyarakat juga perlu lebih bijak menilai kerana itu lebih baik, jangan hanya obses mahu belajar tanpa mengetahui ustaz itu tanpa ada disiplin ilmu,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, satu perjumpaan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan ustaz selebriti di negara ini sepatutnya dianjurkan kira-kira dua minggu lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan masa.