UMNO Tolak Usaha Rai Mazhab Syiah – Zahid

30
0

HUTAN MELINTANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk meraikan mazhab Syiah atau membiarkan ia bebas diamal serta disebarkan di negara ini.

Presiden UMNO berkata, walaupun pihaknya menghormati pengikut mazhab itu di negara yang mengamalkannya, usaha untuk menyerapkan fahaman itu dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini amat tidak sesuai.

Katanya, usaha meraikan dan membiarkan mazhab itu diamalkan bakal menyebabkan perpecahan lebih teruk dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa kita menolak Syiah bukan kerana kita benci tetapi kita tidak mahu ajaran ini memesongkan ajaran orang Islam di Malaysia ini.

“Mana mungkin negara kita yang meletakkan dalam Perlembagaan (Perkara) 3(1), agama Islam adalah agama Persekutuan, walaupun dalam Perlembagaan tidak sebut, amalan kita berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia harus dihormati kerana ia kontrak sosial kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk di sini, hari ini.

Dalam sidang medianya, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri itu turut memohon semua ulama, cendekiawan, jabatan agama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak sebarang usaha yang dilakukan untuk memesongkan pegangan berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Biarpun apa akan terjadi, biar apa pun sudah terjadi, biarpun apa akan terjadi, kita tidak boleh tolak ansur melainkan pegangan kita Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie,” katanya.