UMNO Tak Perlu Pertahankan Saya – Najib

32
0

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, parti itu tidak perlu mempertahankan dirinya kerana beliau berupaya mempertahankan diri sendiri dalam melalui keadaan sekarang.

Katanya, segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap dirinya, bukan UMNO. Justeru, adalah tidak adil untuk UMNO menanggung beban.

“UMNO tidak perlu mempertahankan saya terhadap fitnah yang dilemparkan ini. Melalui perbicaraan yang adil, saya yakin dapat mempertahankan diri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam status yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau sebentar tadi.

Pagi semalam Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM42 juta menerusi akaun peribadinya.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil kegiatan haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Najib, yang melahirkan rasa yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan ke atas dirinya, sebaliknya menegaskan kesalahan dilakukan hanyalah kerana beliau cuba melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti.

“Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN pada masa itu, saya menjadi sasaran pihak lawan yang membuat pelbagai serangan fitnah terhadap saya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah parti yang berjaya membawa Malaysia hampir meraih status ekonomi maju dan menikmati ketenteraman serta keamanan sejak Merdeka, jasa UMNO kepada negara tidak boleh dinafikan begitu saja.

Katanya, perjuangan parti berniat baik dan beliau akan terus menjadi ahli UMNO yang setia serta bersedia untuk menghulurkan bantuan jika parti memerlukan, malah akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat mahu pun negara.

“Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu,” katanya yang menjelaskan sebagai Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen, beliau memiliki pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.

Najib turut mempertahankan tindakan turun berkempen sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis minggu lalu, dengan menyifatkannya sebagai menunaikan permintaan Datuk Lokman Noor Adam, yang meminta bantuan beliau.

Lebih-lebih lagi katanya, ia adalah satu tugas yang berat bagi kerusi berkenaan, kerana PKR adalah penyandang dengan majoriti besar pada pilihanraya lalu.

“Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden UMNO lagi, kepimpinan UMNO baharu perlu diberi kepercayaan dan ruang untuk buktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Najib turut memuji Lokman dan pasukannya kerana melakukan yang terbaik bagi PRK Sungai Kandis.

Pada PRK Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi berbanding majoriti 12,480 pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.