UMNO Selangor Bukan Pembangkang Yang Suka Cari Salah – Noh Omar

91
0

KUALA LUMPUR: Umno Selangor tidak mahu dilihat sebagai pembangkang yang sering mencari salah kerajaan, kata Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Noh Omar.

Ditanya mengapa peranan Umno sebagai pembangkang di Selangor dilihat kurang menyerlah berbanding di Pulau Pinang, Noh berkata pihaknya kini cuba untuk mengambil pendekatan berbeza.

Katanya, pendekatan ini dilakukan untuk memberitahu rakyat bahawa Umno di negeri itu bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Sebagai pembangkang, selain kita asyik nak cari salah, kita mesti ada misi kita sendiri,” katanya.

“Kalau asyik nak cari salah, orang pun akan meluat. Jadi kita sekarang ini nak jadi pembangkang yang bersatu. Bukan hanya tahu membangkang dan bukan hanya pembangkang yang suka cari salah,” ujarnya.

Dalam temubual tersebut, Noh juga turut menyentuh mengenai kekosongan kerusi ketua pembangkang di DUN Selangor.

Menurutnya, Umno tidak akan meletakkan wakil sekiranya kerajaan negeri tidak bersedia untuk menyusun semula Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri.

Beliau berpendapat komposisi dalam jawatankuasa tersebut tidak adil kerana hanya dua wakil BN diletakkan dalam PAC.

“Kita setuju ambil (kerusi) ketua pembangkang dengan syarat komposisi dalam PAC mesti disusun semula,

“Komposisi di dalam PAC mesti disusun semula. Dalam PAC, wakil BN ada dua orang, PAC ada tujuh orang kesemuanya.

“Lima dari kerajaan iaitu wakil PKR, PAS, DAP. Kalau pengerusinya dari Umno, maknanya hanya tinggal seorang sahaja dalam jawatankuasa itu.

“Jadi apa adilnya?,” kata bekas menteri kabinet itu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan jawatankuasa itu dianggotai oleh tiga wakil BN, tiga wakil kerajaan negeri dan seorang pengerusi. – MK