UMNO Baharu, Kena Berani Untuk Tolak Najib – Rahim Tamby Chik

328
0

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menyingkirkan bekas presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak perlu sekiranya parti itu mahu menarik kembali sokongan rakyat.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik berpendapat bahawa kepemimpinan UMNO mesti berani membuat keputusan untuk mengembalikan imej parti yang telah ‘rosak’ akibat imej buruk yang dibawa Najib.

“Jika Umno benar-benar berazam untuk berubah dan memperbetulkan imejnya yang rosak musnah di kaca mata ahli-ahli dan rakyat jelata, kepemimpinan mesti berani membuat keputusan untuk menyingkirkan keahlian Najib sebagai tanda komitmen perjuangan parti,” memetik status Facebook miliknya.

Tambahnya, sekiranya pemimpin UMNO  masih gagal untuk bersuara dan bertindak tegas terhadap mana-mana pemimpin parti itu yang menyalahguna kuasa dibiarkan sahaja ianya diibarat malang yang berganda kepada UMNO.

“Bukan kami tak sayang bekas pemimpin kami tapi kami lebih sayang perjuangan UMNO yang keramat ini tidak dikiamatkan.

“Rakyat akan menghargai bahawa dalam perjuangan untuk negara, kebijaksanaan dan tanggungjawab  UMNO adalah untuk kepentingan rakyat sebagai keutamaan nasional yang jauh lebih besar dari hanya terkial-kial mempertahankan kepentingan mana2 individu tertentu,” kata Rahim.

Sebelum itu, bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi pandangannya tersendiri bahawa adalah satu kesilapan untuk membiarkan Najib berkempen untuk BN pada pilihan raya kecil Sungai Kandis baru-baru ini memandangkan bekas perdana menteri itu dicemari tuduhan rasuah yang akan menyaksikan Umno terpalit sama.