Umat Islam Wajib Kukuhkan Semangat Perpaduan Sesama Rakyat – Sultan Nazrin

9
0

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam wajib memperkukuhkan semangat perpaduan sesama rakyat pelbagai agama serta kaum dalam membina kehidupan yang damai dan harmoni selain membangunkan negara yang aman makmur.

Baginda juga mahu umat Islam menyelami dan menghayati semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, begitu juga falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

“Sesebuah negara terbentuk, lalu dibangunkan kerana adanya titik pertemuan hasrat dan matlamat dalam kalangan ummah untuk bernegara.

“Persekutuan Tanah Melayu disusuli enam tahun kemudiannya dengan penubuhan Malaysia, ialah sebuah negara baharu, dilahirkan pada tahun 1957, kerana adanya titik pertemuan hasrat dan titik pertemuan matlamat dalam kalangan penduduk bumi ini, untuk membentuk sebuah negara bercorak Persekutuan, di bawah payung naungan pemerintahan seorang Yang di-Pertuan Agong, yang didukung oleh Raja-raja Pemerintah daripada setiap negeri, dan di bawah pentadbiran sebuah Kerajaan Persekutuan, dengan kerjasama kerajaan-kerajaan di peringkat negeri,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah 1440 Peringkat Perak di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah negara ini dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa serta menganut pelbagai agama.

“Barisan pemimpin yang mengasaskan penubuhan negara kita, bersifat pragmatik dan realis, menerima realiti komposisi kepelbagaian rakyat di bumi ini. Perlembagaan Merdeka digubal berasaskan realiti komposisi rakyat yang begitu pelbagai, setiap seorangnya diberikan jaminan keadilan, perlindungan, dan hak,” titah baginda.

Baginda bertitah prinsip toleransi dan semangat menghormati kewujudan pelbagai agama termaktub di dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’.

“Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi. Toleransi yang dimaksudkan tidak bererti umat Islam diperlukan mengakui doktrin keyakinan agama lain, kerana dalam persoalan akidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan.

“Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam, menyentuh aspek muamalah harian, iaitu, perkara-perkara berkaitan urusan dunia dan kehidupan manusia, di samping mengamalkan akhlak yang baik ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain,” titah baginda.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.