Ubah Tanggapan ‘Kementerian Melayu Sahaja’ – Salahuddin

35
0

MUAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu mengubah tanggapan orang ramai yang sering menganggap kementerian berkenaan untuk orang Melayu semata-mata.

Menterinya, Salahuddin Ayub, berkata perkara ini hanya sekadar tanggapan sahaja dan ia perlu diperbetulkan kerana pihaknya mahu pelbagai sektor yang terdapat dalam kementerian terbabit disertai oleh semua kaum di negara ini.

“Saya tak mahu persepsi atau dogma ini terus kekal. Saya akan berusaha memberikan perkhidmatan kepada semua, termasuk kaum lain dan biar mereka lihat kementerian ini sebagai kementerian rakyat Malaysia.

“Mungkin sektor pertanian dan nelayan ini, contohnya di kawasan luar bandar ini ramai orang Melayu. Tetapi ramai juga orang bukan Melayu terbabit dalam sektor pertanian seperti buah-buahan, sayuran, penternakan, perikanan laut dalam dan juga industri seperti burung walit.

“Ini semua majoriti orang bukan Melayu. Jadi, kita harus bijak untuk menjadikan mereka ini sebagai aset atau pemegang taruh yang akan dijadikan fokus utama dalam menjayakan misi kementerian ini kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Anak Muda Bakri dan Penyerahan Keahlian Baharu Parti Amanah Negara (PAN) dari 150 kaum Cina di Taman Seri Kasih di sini, malam tadi.

Sementara itu pada majlis sama, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, kementeriannya akan meneruskan bantuan dan insentif kepada golongan petani serta nelayan tetapi pada masa sama golongan berkenaan perlu meningkatkan keupayaan mereka kelak.

“Kita kena bagi mereka ini joran dan bukannya ikan pada setiap masa. Insentif ini perlu diperkukuh dengan latihan, teknologi dan teknikal supaya mereka tidak hanya fokus kepada satu perkara sahaja. Contohnya kalau nelayan, jika tidak ke laut, usahakanlah tanah terbiar dengan tanaman nenas atau sayuran fertigasi yang mudah ditanam.

“Ini adalah cara untuk kita memperkasakan kumpulan kecil nelayan miskin ini dan mereka boleh bergerak dari cara tradisi kepada yang lebih moden walaupun ia diusahakan secara kecil-kecilan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan subsidi yang juga dikekalkan tetapi diberikan daya baharu penggunaannya supaya ia mampu memberi manfaat kepada golongan sasaran.

“Negara maju pun, terutama dalam sektor keselamatan makanan, kerajaan mereka juga memberi subsidi. Tetapi biarlah pergerakan petani dari miskin kepada jutawan dan itu yang kita hendak jadikan contoh, iaitu dengan subsidi didayakan dengan latihan kerana ia akan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kalau tidak, mereka tidak akan bergerak dan kita mahu ia dinamik dan potensi itu perlu digerakan dan seterusnya akan bergerak dalam tempoh jangka masa panjang sesuai dengan dasar agro makanan yang akan berakhir pada 2020.

Lepas itu, kita perlu analisa bagi memastikan sektor ini akan terus diperkasakan,” katanya.