Turunkan Presiden, Pecahkan Parti, Satu Muslihat Terancang…

476
0
KONGSI

Oleh: AZMAN HUSSIN

APABILA sesebuah negara itu tidak dapat ditakluk melalui cara yang biasa, iaitu melalui kuasa ketenteraan, terdapat pelbagai kaedah lain untuk menguasainya. Sejarah dan pengalaman telah menjadikan sebahagian manusia semakin licik dalam menjayakan matlamat-matlamat mereka.

Pada zaman dahulu, penaklukan dan penjajahan ke atas sesebuah negara dilakukan melalui kuasa ketenteraan dengan cara berhadapan. Mereka bertempur secara terbuka, di medan yang dikenali, dan dapat dibezakan yang mana satu musuh melalui pakaian seragam mereka.

Kaedah ini sebenarnya tidak lagi digunakan pada zaman moden ini, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu.

Jika kita melihat kepada revolusi-revolusi zaman moden, ia sebenarnya digerakkan oleh kuasa-kuasa asing untuk menggulingkan pemerintah lama dan mengubah sesebuah negara tersebut selaras dengan kemahuan mereka. Contohnya di Libya, Iraq, Mesir atau Tunisia. Semuanya digerakkan oleh kepentingan-kepentingan kuasa-kuasa asing untuk menjajah kembali negara tersebut.

Tidak ada penaklukan tentera oleh tangan-tangan ghaib di negara-negara ini, sebaliknya peranan tentera ini telah diambil alih oleh rakyat negara tersebut. Rakyat telah diperdaya untuk menjatuhkan pemerintah mereka sendiri. Mereka telah menggunakan rakyat negara itu sendiri sebagai bala tentera mereka. Itulah yang tersirat di sebalik revolusi-revolusi besar dunia.

Dengan menaja tokoh-tokoh pembangkang, aktivis masyarakat dan golongan muda-mudi, mereka menggerakkan perhimpunan dan demontrasi yang berakhir dengan kejatuhan pemerintah asal.

Boneka-boneka penjual negara ini menghasut rakyat dengan pelbagai fitnah dan persepsi. Mereka berjaya menyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka benar. Rakyat tidak sedar yang mereka sebenarnya sedang diperalatkan. Mereka kononnya berjuang untuk negara dan masa depan mereka sendiri, sebaliknya mereka sedang dieksploitasi untuk menjayakan agenda kuasa-kuasa asing.

Cara dari dalam seperti ini ternyata adalah lebih mudah dan berkesan. Jika kuasa-kuasa asing ini menggunakan kuasa ketenteraan untuk menakluk negara tersebut, sudah pasti seluruh rakyat akan bangkit menentang pencerobohan asing ini. Tetapi apabila rakyat dipecahkan dari dalam, mereka tidak akan sedar bahawa mereka sedang dipergunakan untuk mengubah negara mereka agar senang dikuasai oleh tangan-tangan ghaib ini.REVOLUSI

Inilah yang telah berlaku di dunia Arab moden hari ini. Rakyat mereka telah dipecah-belahkan sehingga pemerintah asal dijatuhkan. Pelbagai dakwaan zalim, korupsi, diktator telah dipalitkan kepada pemerintah asal hingga membawa kepada revolusi rakyat.

Begitu juga apabila skop negara dikecilkan kepada sebuah institusi. Jika sesebuah institusi itu tidak dapat dikalahkan dari luar, musuh akan menggunakan modus operandi yang sama, iaitu menghancurkannya dari dalam dengan menimbulkan perpecahan sesama ahli mereka.

Misalnya menyerang ketua dengan menyebarkan fitnah-fitnah ke atasnya. Sudah semestinya akan wujud perpecahan. Ahli-ahli parti akan berpecah dua dan berlakulah perpecahan dan perbalahan.

Puak-puak yang menentang Presiden parti akan mendakwa bahawa mereka bukannya mahu merosakkan parti, tetapi mahu memperbaiki parti, iaitu menjatuhkan Presiden yang terpalit dengan penyelewengan dan korupsi. Mereka mendakwa imej Presiden tidak dapat diselamatkan lagi di mata rakyat.

Sebenarnya ini juga hujah-hujah rakyat di negara-negara yang huru-hara hari ini. Mereka bukannya mahu merosakkan negara, tetapi mereka berniat mahu menyelamatkan negara. Ironinya, tindakan-tindakan mereka itu telah menghancurkan negara mereka walaupun niat asal mereka bukan begitu.

Kerana untuk mempengaruhi mereka menentang parti pemerintah adalah sukar, mereka dikelirukan supaya menghancurkan parti dengan cara menentang Presiden. Walaupun parti bukanlah milik Presiden, menentang Presiden sebenarnya adalah sama hasilnya seperti menentang parti. Maksudnya, akibat menentang Presiden adalah sama akibatnya seperti menentang parti.

Presiden parti yang dilantik secara sah, apabila diturunkan melalui cara yang di luar kebiasaan parti, akan meruntuhkan parti itu sendiri. Jika undang-undang dan perlembagaan parti dilanggar, ia bermakna parti tidak lagi dihormati. Kuasa telah tercampak ke jalanan. Mereka yang melanggar garis-garis peraturan sesebuah masyarakat, merekalah musuh masyarakat. Begitu juga situasi dalam parti.

Pertukaran yang tidak demokratik ini juga akan menghasilkan keadaan yang sama, iaitu golongan yang kalah akan bangkit menentang presiden yang baru untuk membalas dendam. Mereka akan menggunakan hujah-hujah yang sama untuk menjatuhkan Presiden parti. Ia hanya akan menghasilkan kitaran ganas yang akan terus memecah-belahkan rakyat.

Ia tidak akan menyelesaikan masalah apabila urusan parti tidak ditentukan secara demokratik melalui pemilihan parti yang setiap ahli sepatutnya patuh dan bersetuju dengan hasil keputusannya.

Mereka mungkin mendakwa niat mereka ikhlas, mahu menyelamatkan parti. Orang-orang ini sebenarnya terkeliru dan telah diperdaya oleh strategi musuh mereka. Musuh telah berjaya memesongkan minda mereka. Mereka tidak melihat kepada muslihat dan akibat di sebalik tindakan mereka itu. Mereka tidak sedar bahawa matlamat menjatuhkan Presiden hanyalah alasan untuk mengelirukan maksud sebenar musuh mereka, iaitu mahu menumbangkan seluruh kerajaan.

Sama seperti rakyat di negara yang bergolak, mereka terkeliru dan dijadikan alat untuk meletakkan negera mereka sendiri ke dalam cengkaman kuasa-kuasa asing. Barisan pertahanan parti akan disusupi oleh musuh-musuh dari luar. Musuh tidak lagi dikenali kerana masing-masing mendakwa mahu menyelamatkan parti dengan menjatuhkan presiden parti.ARAB_MILITARY

Di Libya misalnya, rakyat telah bangkit menentang Muammar Ghadafi yang didakwa zalim dan menyeleweng. Hasil tindakan mereka itu sebenarnya telah menghancurkan lagi negara mereka sendiri, walaupun niat mereka adalah mahu menjatuhkan Presiden. Rakyat telah dihasut dengan pelbagai tuduhan dan fitnah berkenaan Muammar Ghadafi. Hari ini kita boleh melihat apa yang telah berlaku di sana, berapa ramai yang menjadi korban dan pelbagai infrastruktur negara telah hancur kerana perbalahan sesama sendiri angkara hasutan kuasa-kuasa asing yang mahu menjajah kembali mereka.

Jika kita faham perkara ini dan membandingkan dengan tindakan pemimpin-pemimpin DAP dan pembangkang yang lain, yang menyokong dan bersama gerakan Tun Dr Mahathir menentang Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib, kita sepatutnya dapat meletakkan kedua-dua kes ini dalam satu situasi yang sama. Dalam kes menentang Presiden Umno yang menjadi ketua parti kerajaan,  ia sebenarnya hanya bertujuan memecah-belahkan parti utama kerajaan dan salah satu cara lain untuk meruntuhkan kerajaan yang ditadbir oleh orang-orang melayu-Islam. Itu sahaja motif mereka.

Tindakan mereka ini adalah seperti membekalkan senjata kepada pihak yang bertelagah agar kehancuran kedua-dua belah pihak mencapai tahap maksimum. Mereka mahu gerakan menentang Perdana Menteri menjadi lebih kuat agar kerosakan yang terhasil daripada penentangan ini menjadi lebih besar.

Apabila parti kerajaan ini hancur, kelebihan akan berpihak kepada mereka untuk peluang mengambil alih kuasa di negara ini.

Pembangkang yang telah lama gagal menjatuhkan kerajaan melalui cara yang biasa, iaitu melalui Pilihanraya Umum atau demonstrasi jalanan, telah menggunakan kaedah memecah-belahkan parti kerajaan dengan menyasarkan serangan utama kepada Presiden parti.

Dalam perang konvensional, perkara ini juga berlaku. Ketua akan dijadikan sasaran untuk dihapuskan terlebih dahulu agar pasukan menjadi lemah dan hilang kawalan. Tetapi, kepada orang-orang yang telah terpedaya dengan muslihat ini, mereka tidak akan nampak hakikat ini.

Sama ada benar atau tidak penentangan ke atas presiden parti ini adalah rancangan tersusun mereka atau ia hanya diambil peluang oleh mereka, gerakan menjatuhkan Presiden ini telah berjaya melemahkan dan memecah-belahkan lagi perpaduan orang-orang Melayu yang menyokong kerajaan.