Tun M Tegur Pembangunan Tidak Teratur

5
0

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menegur pihak yang melakukan kegiatan pembangunan tidak teratur dan menebang pokok secara tidak teratur sehingga berlaku malapateka susulan kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau mengakui masalah yang berlaku di Malaysia ketika ini adalah akibat terlalu banyak kegiatan pembalakan hingga kerap berlakunya tanah runtuh di kawasan bukit.

“Sepatutnya jika mahu memotong pokok perlu ada kajian terlebih dahulu, kerana pokok di hutan mengukuhkan struktur tanah supaya tidak tergelongsor ketika hujan lebat.

“Pokok di hutan akan menapis hujan, tetapi apbila pokok ditebang tanah terdedah dan hujan yang banyak menyebabkan tanah jadi lumpur dan berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci rumah kepada mangsa bencana alam di Kampung Kuala Melaka, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang mengorbankan tiga pekerja projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang, semalam.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi meminta orang ramai tidak membina rumah di kawasan terlalu hampir dengan laut bagi mengelak bencana alam.

“Apabila ada rumah yang dibina terlalu dekat dengan pesisir laut, ia memungkinkan semua mereka terdedah kepada tsunami.

“Seperti kejadian ribut di Langkawi yang berlaku baru-baru ini, rumah penduduk yang dibina tidak kuat akan mudah rosak dan bumbung diterbangkan apabila angin kuat melanda,” katanya.