Tun M Sah Bertanding Di Langkawi

24
0
KONGSI

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diumum sebagai calon pembangkang bagi kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Anaknya, Datuk Seri Mukhriz, dinamakan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan Parlimen Jerlun.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,

pada majlis di Padang Mat Sirat di sini, malam tadi.

Calon lain yang turut diumum adalah Johari Bulat bagi kerusi DUN Ayer Hangat dan Firdaus Ahmad bagi kerusi DUN Kuah.

Turut hadir pada pengumuman itu, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Presiden PPBM yang dibubar sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada PRU-13, kerusi Parlimen Langkawi dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nawawi Ahmad.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein, dengan majoriti 11,861 undi.

Kerusi DUN Ayer Hangat dimenangi Datuk Mohd Rawi Abd Hamid mewakili BN manakala DUN Kuah turut dimenangi calon BN, Nor Saidi Nanyan.