Tun M Mohon Injuksi Beku Aset Najib

143
0

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain memfailkan permohonan injuksi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pembekuan aset milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Permohonan injuksi itu difailkan peguam Haniff Khatri Abdulla, melibatkan semua aset dan akaun bank yang didaftarkan atas nama Najib.

Dua yang lain itu, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin.

Dalam permohonan, mereka menyatakan tindakan itu kerana kemungkinan Najib dan rakan sekutunya, memindahkan semua wang ke luar negara berdasarkan rekod sebelum ini.

“Peguam Negara telah menyatakan Najib menerima sejumlah wang dan memulangkan semula wang itu ke Arab Saudi.

“Jika wang itu ini tiada dalam negara, jadi pencarian kami akan menjadi sia-sia,” kata mereka dalam permohonan bagi mendapatkan perintah injuksi itu.

Pada 23 Mac lalu, ketiga-tiga mereka memfailkan saman terhadap Najib kerana mendakwa Perdana Menteri menyalahguna kuasa dan menuntut ganti rugi RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan RM42 juta.