Tun M, Kit Siang, Mat Sabu Sepentas Dalam Kongres Rakyat Esok

391
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: 19 pemimpin politik dan gerakan sivil akan berucap pada perhimpunan Kongres Rakyat di Shah Alam esok, sebagai permulaan kempen menggesa Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Kempen berkenaan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mahu siasatan bebas diadakan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perhimpunan esok diusahakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang diketahui umum menyokong usaha Dr Mahathir.

Zaid akan memberikan ucapan pembukaan, manakala Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir adalah antara yang terakhir memberi ucapan, lapor Malaysiakini.

Selain itu, pemimpin yang akan berucap ialah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; veteran DAP, Lim Kit Siang; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; peguam aktivis, Datuk S Ambiga, dan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Perhimpunan itu adalah susulan kepada Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh 45 ahli politik, membabitkan penyokong Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang.