Tun M Hadiri Mesyuarat Pembentukan Kabinet Pagi Ini

62
0

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) pagi ini untuk menentukan senarai menteri Kabinet.

Komponen parti dalam PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) diminta menyediakan calon untuk dipertimbangkan berada dalam Kabinet.

Mesyuarat berkenaan diadakan di ibu pejabat PPBM di Yayasan Selangor di sini manakala sidang akhbar dijangka pada jam 1 tengah hari.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata semua empat pemimpin utama parti bersetuju pada masa ini hanya Kabinet kecil dibentuk membabitkan kementerian yang penting.

Sepuluh kementerian itu ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pengangkutan, Kementerian Multimedia, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar.