Tun M Ajak Rakyat Bersyukur

32
0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengajak rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur serta mengambil iktibar dengan apa yang berlaku kepada saudara Islam di negara luar apabila demokrasi yang diharap tidak mencapai tujuannya.

Rakyat Malaysia, tegas beliau, masih dapat menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri dengan penuh selesa dan selamat tanpa perlu risau dan berasa terancam dengan serangan musuh.

“Marilah kita renungkan akan cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang, dan bagaimana kita dapat mengatasinya. Insya-Allah dengan berkat usaha dan sikap tidak akan menyerah kalah, usaha ini akan diberkati Allah dan kita pasti akan berjaya melepasi segala rintangan.

“Percayalah, apa yang dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan kita di beberapa buah negara lain terutamanya di Timur Tengah,” katanya dalam perutusan Aidilfitri 2018, di sini, malam tadi.

Dr Mahathir berkata, 1 Syawal sebagai hari kemenangan melawan nafsu, tidak hanya terhad kepada menahan lapar dan dahaga, malah melawan nafsu dengan menolak apa juga perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ada kalanya nafsu menghumban kita ke dalam perkara yang dilarang, ini akan mencemarkan imej kita sebagai seorang Muslim tetapi Alhamdulillah, Islam itu sempurna.

“Jika diamati dengan teliti, ia tetap menjadikan kita manusia yang baik dan berjaya. Islam bukan sahaja agama, ia adalah ‘Ad-deen’ atau cara hidup,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, kerajaan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil dan orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, jika negara aman dan selamat, pelabur akan melabur dengan banyak dan peluang pekerjaan akan bertambah, serta dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat.