Tun M Ada Hak – Ku Li

153
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam sebagai wajar.

Ini kerana, katanya, sebagai pembayar cukai bekas perdana menteri dan presiden Umno itu mempunyai hak untuk menyaman mana-mana pihak sekiranya individu tersebut tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

“Sesiapa pun boleh saman menteri. Menteri, pegawai kerajaan kalau mereka tak jalankan tanggungjawab dengan betul, sempurna. (Contohnya) macam salahguna kuasa.

“Kita rakyat biasa boleh saman.

“Rakyat, asalkan dia bayar cukai, siapa juga yang membayar cukai, dia berhak. Dia ada locus standi (untuk saman),” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman pula melahirkan rasa ‘terkejut’ dengan tindakan berkenaan.

“Saya terkejut tapi tak terperanjat,” kata Azalina ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini sambil menambah akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Mahathir dan dua yang lain memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu.

Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.