Tukar Nama KLIA Tidak Wajar

242
0
KONGSI

SHAH ALAM: Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim didakwa cuba meraih publisiti murahan apabila mencadangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditukar nama kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Selangor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berkata, cadangan itu bukan sahaja dangkal malah pelik kerana nama KLIA pun hendak dipolitikkan.

“Kami bukan tidak mempunyai semangat kenegerian Selangor yang tinggi, tetapi kami tetap berbangga kerana KLIA dibina di Selangor dan mercu tanda pintu masuk utama Malaysia tetapi idea Chang Khim terlalu dangkal,” katanya.

Beliau mengulas perbahasan Adun Sungai Pinang itu sebagai usaha untuk mempromosi Selangor kepada para pelancong asing.

Shahrum berkata, cadangan itu tidak wajar kerana KLIA dibina atas usaha Kerajaan Persekutuan.

Beliau juga menegaskan, seharusnya ‘prority’ kepada Kerajaan Persekutuan kerana bertanggungjawab membina satu projek mega yang menelan belanja berbilion ringgit walaupun ia dibina di negeri Selangor.

Janganlah pasal nama pun kita nak politikkannya. Lagipun KLIA dibina atas tanah Malaysian Airport Berhad (MAB) sendiri. Mereka juga membayar cukai premium setiap tahun kepada Majlis Daerah Sepang setiap tahun,” katanya.

Tambah Shahrum, seharusnya setiap rakyat Negeri Selangor berbangga kerana projek mega seperti KLIA telah dibina di negeri ini kerana ia bukan sahaja menyebabkan Selangor menjadi tumpuan para pelancong tetapi membantu memajukan pembangunan daerah Sepang.