Transgender Tidak Harus Ditindas – Mujahid

38
0

PUTRAJAYA: Pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan aktivis sosial yang juga transgender, Nisha Ayub, hari ini bukan hanya mengenai isu potret di Pulau Pinang saja sebaliknya masa depan dan isu dihadapi komuniti transgender di negara ini turut dibincangkan.

Mujahid, pada sidang media berkata, beliau mendapat maklumat bahawa rakyat masih menindas komuniti transgender dan ia ternyata tidak membantu golongan itu untuk terus berada dalam masyarakat.

“Jika rakyat terus melabel dan menghukum mereka ini, tidak mustahil mereka akan terus berada di lembah kehinaan.

Statistik yang dikeluarkan menakutkan, apabila 80 peratus daripada komuniti itu terbabit dalam kerja-kerja seks.

“Saya merayu kepada masyarakat supaya beri mereka peluang untuk menyumbang kepada kerajaan, hak untuk ke sekolah, akses kepada kemudahan kesihatan, malah hak untuk beribadat.

“Saya difahamkan, ada doktor yang tidak mahu periksa transgender dan hanya sentuh pakai pen saja. Ini salah bagi etika seorang doktor kerana doktor perlu periksa siapa pun pesakit mereka,” katanya.

Pertemuan antara Mujahid dengan Nisha hampir 40 minit itu turut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya, di sini.

Antara perkara lain dibincangkan pada pertemuan itu termasuk langkah yang boleh diambil untuk membebaskan komuniti itu daripada masalah kewangan, memberi panduan kepada mereka dan aspek penerimaan masyarakat terhadap komuniti berkenaan.

Katanya, komuniti transgender harus diberi peluang kerana beliau difahamkan mereka juga mahu solat dan belajar agama.

Mujahid berkata, beliau akan bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan komuniti transgender tidak lagi ditindas.

Ditanya sama ada layanan kerajaan kepada komuniti transgender itu akan menambah lebih ramai golongan itu di negara ini, Mujahid berkata, transgender adalah satu realiti yang tidak boleh dielakkan dan masyarakat kini hidup bersama-sama mereka.

“Menerusi pertemuan hari ini, banyak isu yang saya fahami dan ia patut dibela selaras dengan prinsip Rahmatan Lil’alamin yang menjadi teras kepada pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini,” katanya.

Ditanya juga sama ada kerajaan akan memberi layanan sama kepada komuniti lesbian, biseksual dan gay sebagaimana dilakukan terhadap komuniti transgender hari ini, Mujahid berkata, beliau tidak pasti lagi apa yang perlu dibuat.

Namun, sambil berseloroh, Mujahid berkata; “Esok lusa saya nak (hendak) pergi Makkah, mungkin saya akan minta (berdoa) pada Tuhan.

Sementara itu, Nisha berkata, beliau berterima kasih kerana menteri (Mujahid) sanggup bertemu dan menyelesaikan kemelut itu, sekali gus membantu menghilangkan tanggapan serong masyarakat terhadap golongan transgender.

“Saya ingin jelaskan bahawa gambar berkenaan diambil tahun lalu untuk kempen 60 tahun Merdeka di Kuala Lumpur.

“Saya tidak tahu potret itu dipamerkan di festival berkenaan sehingga ia dikongsi oleh Penang Kini. Saya juga tidak mahu memperbesarkan perkara ini dan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap penganjur,” katanya.

Beliau juga mahu komuniti transgender diberi hak sama rata dan peluang sebagaimana rakyat Malaysia lain dapat dan pada masa sama, menghormati budaya yang diamalkan di negara ini.

Mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, yang menyifatkan perjuangan komuniti LGBT sebagai kebebasan haiwan, Mujahid berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan itu kerana cuba menggambarkan komuniti itu sebagai haiwan.

“Itu mungkin pandangan peribadinya, namun tidak bersetuju umpamakan golongan itu sebagai haiwan. Tak (tidak) boleh cakap orang sebagai haiwan,” katanya.