TPPA: “Ini Sejarah Terbesar Dalam Kerjaya Saya” – Mustapa

123
0

KUALA LUMPUR: “Ini cabaran terbesar di dalam sejarah kerjaya saya,” demikian menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad selepas Dewan Rakyat meluluskan usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut, Mustapa berkata, antara isu yang paling sukar untuk dihadapinya apabila timbul pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan TPPA bakal mencemarkan kedaulatan negara di samping pelbagai lagi tuduhan tidak masuk akal terhadap perjanjian perdagangan bebas tersebut.

Tambah Mustapa, sekiranya mendapat kelulusan Dewan Negara esok, beliau akan berlepas ke Auckland, New Zealand untuk memeterai TPPA awal bulan depan.

Seterusnya, beliau bersama rakan-rakan di dalam Kabinet dan kementerian berkaitan akan sibuk membuat persiapan untuk membuat 26 pindaan ke atas 17 akta yang termaktub di dalam TPPA.

Biarpun mengharapkan pindaan tersebut dapat dibentangkan segera, Mustapa menjangkakan ianya tidak sempat untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac ini.

Terdahulu di dalam ucapan penggulungannya, Mustapa berkata, TPPA bukan acuan Amerika Syarikat sebaliknya kesemua negara yang menyertai rundingan tersebut sejak 2011 merangka draf perjanjian berkenaan.

Dalam pada itu, tulang belakang di atas kejayaan rundingan TPPA, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rebecca Sta Maria menyifatkan hari ini merupakan hari penting di dalam sistem demokrasi negara.

Ini kerana buat pertama kalinya, perjanjian perdagangan bebas dibahaskan di Parlimen.

“Saya berpuas hati. Semua ahli Parlimen bebas bertanyakan pelbagai soalan manakala menteri-menteri kabinet pula telah menjawab dengan baik.

Perjalanan masih panjang tetapi sebagaimana kami telah lakukan yang terbaik sebelum ini, kami akan teruskan pula selepas ini,” katanya di Parlimen hari ini.