Tok Mat Ajak MCA, MIC Bincang Baik-baik

27
0

KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas media melaporkan MCA dan MIC sedang berbincang mengenai masa depan BN, Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan tampil mengajak kedua-dua parti bermesyuarah.

Beliau yang juga bertindak sebagai pemangku pengerusi BN selepas Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti berkata Umno melihat isu berkenaan dengan serius dan menggesa semua pihak bertenang.

“Saya melihat isu ini dengan serius. Saya akan memanggil mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal ini,” katanya seperti dipetik NST.

Memetik sumber yang enggan didedahkan identitinya, antara cadangan yang dibincangkan kedua-dua parti itu ialah menyingkirkan Umno daripada BN.

Sebelum itu MCA dan MIC mengeluarkan kenyataan bersama untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalan BN dan meneroka idea membentuk pakatan baru.

Ini berikutan sikap membisu berterusan Umno mengenai kenyataan perkauman daripada parti itu.

“MCA dan MIC tidak ada pilihan lain kecuali untuk meneruskan langkah untuk meneroka pakatan baru yang menggambarkan tujuan sebenar penyatuan dalam kepelbagaian dalam niat asalnya,” kata kenyataan ditandatangani Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC S A Vigneswaran.

Untuk rekod MCA baru-baru ini meluluskan usul untuk mengemukakan cadangan bagi membubarkan BN dan membentuk gagasan baru selepas parti itu kalah dalam PRU ke-14 pada tahun lalu.