TMJ Pertikai Kualiti Trofi Kasut Emas

42
0
Foto - Utusan

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terkilan dengan kecaman netizen terhadap reka bentuk trofi Kasut Emas Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK 18) dan meminta individu bertanggungjawab untuk segera melepaskan jawatan.

Kasut emas merupakan antara pengiktirafan tertinggi bagi setiap pemain dalam setiap majlis anugerah bola sepak namun reka bentuk trofi tersebut di malam ABK18 menjadi bahan jenaka peminat bola sepak tempat dan dilihat seperti tidak bernilai.

Sehubungan itu, MFL selaku pengendali liga bola sepak di negara ini menjadi sasaran utama kritikan dan Tunku Ismail jelas kecewa dengan perkara itu dan berharap tindakan segera diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

“Saya ada dimaklumkan mengenai kualiti anugerah yang diberikan semasa ABK 2018 dan jelas sekali perkara itu tidak boleh diterima dan saya berharap sesiapa sahaja yang bertanggungjawab untuk melepaskan jawatan.

“Baru 13 jam saya ke luar negara dan masalah sudah berlaku. Sesiapa yang bertanggungjawab, sila letak jawatan.

“MFL, selesaikan masalah ini dan berikan mereka (pemenang) anugerah yang lebih berkualiti. Utamakan kualiti dan bukan kuantiti,” katanya menerusi laman Twitter miliknya.