Tindakan ‘Samseng UMNO’ Biadab – Muhyiddin

12
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam penduduk setempat yang mengganggu ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Johor Bahru Sabtu lalu sehingga terpaksa dibatalkan.

Menggelar kumpulan itu sebagai “samseng Umno”, Muhyiddin berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana pada acara itu HARAPAN turut mengagihkan bantuan dan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Ia perkara simbolik, biasa dilakukan ketika perayaan. Sepatutnya tiada tindakan (gangguan) sebegitu.

“Ia menunjukkan sikap biadab dan tidak hormat, hanya kerana perbezaan politik. Kita boleh berbeza dalam politik, tetapi jangan halang pemimpin masyarakat (untuk menganjurkan majlis seumpama itu,” katanya ketika ditemui selepas sesi bertemu masyarakat di Pasar Dato’ Keramat, hari ini.

Pada 10 Februari lalu, ceramah yang diadakan di sebuah warung di Kampung Bakar Batu Johor Bahru anjuran HARAPAN negeri yang dihadiri Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang diganggu sekumpulan penduduk.

“Tolong jangan lebih-lebih. Cukup. Jangan libatkan Umno, saya tak suka. Jangan guna isu politik mengatakan Umno. Saya penduduk kampung,” kata seorang lelaki yang mencelah ketika pemimpin HARAPAN Johor memberikan sidang media selepas acara dibatalkan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen Kah Eng mendakwa kekacauan itu dicetuskan anggota Umno dan BN.

“Umno BN telah salah gunakan kuasa mereka sebagai kerajaan untuk menakutkan orang supaya tidak beri ruang kepada kita untuk bertemu dengan rakyat.

“Kalau baju biru, siapa dia. Iaitu orang Barisan Nasional. Pemuda Umno, Pemuda Barisan Nasional,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad pula tidak mengesahkan dakwaan itu, sebaliknya mengingatkan mana-mana pihak agar beradab ketika masuk ke mana-mana kawasan.