Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Stabil

19
0

GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, diletakkan di bawah pengawasan doktor selepas mengadu sakit dada awal hari ini.

Beliau dalam perjalanan menghadiri satu majlis di Kepala Batas tengah hari tadi apabila mula mengadu rasa kurang sihat.

Menurut Pembantu Khas Timbalan Ketua Menteri I, Muhasdey Muhamad, Zakiyuddin dengan segera meminta pemandu beliau menghantarnya ke sebuah hospital swasta di Bandar Perda untuk rawatan.

“Beliau kemudian dirujuk ke Wad Rawatan Jantung (CRW) Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan doktor yang memeriksanya berkata beliau dalam keadaan stabil serta dijadualkan menjalani rawatan angiogram pagi esok,” katanya.

Zakiyuddin, 60, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Roslan Saidin, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dan seterusnya dilantik Timbalan Ketua Menteri 1.

Beliau turut memegang portfolio Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri.