Tidak Rasmi: PH Menang Di Balakong

8
0

BANGI: Pakatan Harapan (PH) menepati ramalan apabila mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Berdasarkan paparan keputusan PRK Balakong di Dewan Utama Demense, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat menunjukkan calon PH, Wong Siew Ki terus mendahului jauh calon MCA, Tan Chee Teong.

Setakat jam 8.40 malam, Siew Ki meraih 16,515 undi sekali gus mengatasi calon MCA, Tan Chee Teong yang sekadar memperoleh 3,047 undi.

Kemenangan ini juga amat bersejarah buat PH apabila membuat penampilan sulung dengan bertanding menggunakan logo baharu ‘HARAPAN’ pada PRK DUN Balakong dan Seri Setia yang berlangsung serentak.

Bagi MCA yang turut mengambil pendekatan baharu bertanding menggunakan logo sendiri dengan mengetepikan logo tradisi iaitu Barisan Nasional (BN), malang ia tidak cukup kuat memecah tembok Balakong yang dianggap kubu kuat DAP-PH.

Menurut SPR, sebanyak 43 peratus pemilih berdaftar keluar mengundi pada PRK Balakong sekali gus tersasar daripada sasaran awal 70 peratus pemilih keluar mengundi.

Meskipun peratusan keluar mengundi boleh diklasifikasikan sebagai tidak memberangsangkan, namun undi yang diperoleh sudah cukup buat PH mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Seramai 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018.

Sebanyak 16 pusat pengundian dengan 128 saluran bagi PRK DUN Balakong dibuka seawal jam 8 pagi lagi.

Sebanyak 14 sekolah dan dua dewan dijadikan pusat pengundian bagi PRK DUN Balakong.

Kesemua pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang tadi.

PRK kali ini menyaksikan tempoh berkempen yang panjang selama 21 hari membabitkan pertembungan dua penjuru antara Siew Ki dan Chee Teong.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

PRU-14 menyaksikan mendiang Tien Chee memperoleh 41,768 undi sekali gus menewaskan calon BN, Lim Chin Wah (5,874 undi) dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali (6,230 undi) dengan majoriti 35,538 undi.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi ketika itu mencatatkan 87.83 peratus daripada 61,659 orang.