Tidak Perlu Pengauditan Awam Tambahan Bagi Tabung Haji – Jamil Khir

137
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk Lembaga Tabung Haji dikenakan pengauditan awam tambahan berhubung teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana penyata kewangan institusi tersebut sentiasa diaudit mengikut piawaian yang ditetapkan sejak penubuhannya pada tahun 1963.

“Setiap tahun penyata kewangan Tabung Haji dihantar ke Jabatan Audit Negara.

“Kesemua proses pengauditannya telah mengikut piawaian perakaunan yang ditetapkan,” kata Jamil khir.

Beliau menjawab soalan lisan dari Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan dari DAP yang menanyakan keperluan satu pengauditan awam dilakukan terhadap Tabung Haji berikutan daripada teguran daripada BNM.

Guan Eng turut meminta status aset serta liabiliti institusi tersebut ekoran daripada teguran sama.

Menurut Jamil Khir, teguran BNM hanya merujuk kepada sebahagian aset Tabung Haji.

“BNM dalam suratnya menyatakan nilai aset Tabung Haji cukup untuk bayar 98 sen bagi setiap seringgit liabiliti.

“Tabung Haji masih mempunyai aset-aset lain dalam bentuk pelaburan dalam anak-anak syarikat, syarikat bersekutu dan juga aset hartanah,” jelas Jamil Khir.

Oleh itu, kata beliau, nilai aset keseluruhan Tabung Haji pada tahun 2015 adalah lebih RM60 billion di mana ia lebih tinggi daripada liabilitinya iaitu RM59.3 billion.

Selain itu, Jamil Khir turut memaklumkan keuntungan Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015 adalah yang tertinggi sejak agensi itu ditubuhkan lebih lima dekad lepas iaitu keuntungan bersih mencapai RM3.53 billion.