Tian Chua Akui PKR Hadapi Cabaran Pilih Calon

54
0

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua, semalam memberi amaran kepada pucuk kepemimpinan parti itu supaya berhati-hati dalam memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Katanya, beliau sedia menerima hakikat jika tidak dipilih mempertahankan kedudukannya di Parlimen Batu dalam PRU ini, tetapi calon yang mahu diletakkan parti itu mesti mampu menarik sokongan rakyat.

“Saya ‘OK’ tidak bertanding dalam PRU ini. Ketika rakyat sedia berubah, kepemimpinan PKR mesti berhati-hati. Pemilihan mesti melihat pelbagai aspek termasuk latar belakang calon, bukan saja di Batu tetapi seluruh negara.

“Saya tiada masalah hendak diletakkan di mana-mana tempat, cuma pemilihan calon mesti hati-hati supaya rakyat boleh sokong. Calon mesti berupaya menangani masalah rakyat,” katanya dalam sidang media di Batu Caves, petang tadi.

Chua berkata demikian ketika mengulas krisis didakwa dihadapi PKR dalam memilih calon bagi menghadapi PRU-14, termasuk khabar kononnya beliau turut tidak tersenarai untuk bertanding di Batu.

Beliau mengakui pucuk pimpinan PKR menghadapi tekanan dalam dan luar parti itu dalam menentukan calon bagi menghadapi PRU ini.

“Saya cuma minta, pada saat akhir, pemimpin kita berhati-hati dalam menggugur atau menyenaraikan orang (dalam senarai calon) hanya untuk memenuhi lobi pelbagai pihak.

“Ini kerana kita memikul tanggungjawab yang berat. Rakyat mahu melihat PKR memenuhi aspirasi mereka dan bukannya memenuhi kepentingan pihak tertentu.

“Saya masih menaruh harapan dan percaya pucuk kepemimpinan mempunyai kekuatan menghadapi tekanan bagi memastikan parti kekal bersatu dalam menghadapi PRU,” katanya.

Sementara itu di Seberang Jaya, Pulau Pinang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan menyerahkan senarai calon PRU-14 pilihannya kepada pucuk pimpinan parti.

“Itu cuma khabar angin. Proses pemilihan calon dalam PKR sangat telus dan saya tidak hantar sebarang nama pilihan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata PKR melakukan saringan terakhir terhadap senarai calon PRU-14 atas nasihat Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.